Afrika, terlintas di dalam fikiran imej hidupan liar - singa, zirafah, gazel, kuda belang, burung unta - yang hidup bebas di persekitaran semulajadi mereka. Lawatan ke Afrika tanpa menyaksikan haiwan-haiwan ini dalam persekitaran semulajadi mereka bagaikan melawat Paris tanpa melihat Menara Eiffel atau melawat London tanpa melihat Big Ben.
Jadi, apabila saya berpeluang melawat Cape Town di Afrika Selatan baru-baru ini, saya bertekad untuk menikmati pengalaman safari walaupun terpaksa ke sana berseorangan.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi saya kerana berjaya mencari tiga orang rakan, kesemuanya wanita, di Cape Town yang bersetuju untuk menemani saya.
Merekalah yang membuat segala persiapan seperti mencari taman safari yang terdekat dengan Cape Town dan memilih atur cara perjalanan... pakej yang ditawarkan, jumlah kos, dan bagaimana untuk ke sana.
Kami menempah pakej lawatan sehari di Fairy Glen Safari di Worcester yang atur caranya termasuk sarapan pagi, lawatan ke taman safari persendirian dan makan tengah hari.
Kami berangkat ke Fairy Glen Safari, yang terletak satu jam perjalanan dari Cape Town. Di situ kami menaiki sebuah jip dengan 15-tempat duduk untuk memulakan lawatan safari kami. Pemandu kami yang mengenalkan dirinya sebagai Kimal membawa jip menghampiri haiwan-haiwan ini tanpa membahayakan pelawat ataupun haiwan.
Sekali-sekala beliau menghentikan jip dan memberi penerangan menarik mengenai haiwan yang terdapat di taman safari ini.
Taman safari ini mempunyai haiwan yang digelar 'Big 5' di Afrika dan haiwan-haiwan lain. 'Big 5' merupakan haiwan buruan yang sangat diminati oleh pemburu kulit putih iaitu gajah, singa, badak, harimau bintang dan kerbau liar. Bagaimanapun, ia tetap satu pengalaman yang menyeronokkan dan sukar dilupakan untuk berada di taman safari bersama tiga orang rakan dari Cape Town walaupun ia hanya selama sehari.