top of page
No tags yet.

SEARCH BY TAGS: 

RECENT POSTS: 

FOLLOW ME:

  • Facebook Clean Grey
  • Twitter Clean Grey
  • Instagram Clean Grey

SADE 1013 ASAS KEUSAHAWANAN

1.0 Pengenalan


Pelancongan merujuk kepada aktiviti melawat, melancong atau mengembara ke sesuatu tempat lain yang melebihi lima puluh batu dari tempat kediaman tidak lebih dari satu tahun untuk tujuan rekreasi atau mengisi masa lapang. Menurut Pertubuhan Pelancongan Sedunia, iaitu salah satu badan PBB, pelancongan juga merujuk kepada aktiviti perkhidmatan kepada pelancong. Pelancongan telah menjadi aktiviti masa lapang yang popular di seluruh dunia. Dalam konteks dunia hari ini, pelancongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi dan sosial yang semakin penting. Jumlah pelancong dalam negeri dan antarabangsa semakin meningkat malah, beberapa buah negara di dunia kini memajukan sektor pelancongan sebagai sektor utama yang menjana pendapatan negara. Pelancongan juga merupakan sektor yang melibatkan peranan yang saling kaitan antara pihak kerajaan, bukan kerajaan dan juga orang awam


Pelancongan bukanlah sesuatu yang baru. Sejak dulu lagi sektor pelancongan telah menjadi nadi penggerak ekonomi beberapa buah negara. Dalam era globalisasi kini, banyak negara dunia berlumba-lumba memajukan industri pelancongan untuk tukaran wang asing yang lumayan. Malahan banyak juga negara yang menggalakkan pelancongan dalam negara untuk menjana pertumbuhan ekonomi di sekitar destinasi pelancongan. Dalam rangka membangunkan industri tersebut banyak kawasan yang mempunyai keunikan semulajadi dibuka dan dimajukan untuk tujuan pelancongan, sama ada melalui evolusi ataupun dibuka dengan sengaja oleh pihak-pihak tertentu. Negara Malaysia amat bertuah mempunyai alam semulajadi yang indah, unik dan pelbagai seperti hutan hujan tropika, iklim dan cuaca yang tidak melampau, banjaran gunung, pulau dan pantai serta pelbagai spesies flora dan fauna.


Terdapat pelbagai kategori pelancongan yang terdapat di Malaysia seperti pelancongan pendidikan, pelancongan kesihatan, ekopelancongan, agropelancongan, pelancongan sukan dan sebagainya. Kepelbagaian aktiviti pelancongan di Malaysia telah berupaya menjana sebahagian besar kepada pendapatan dan ekonomi negara di samping membuka ruang kepada rakyat tempatan untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai salah satu bidang keusahawanan.


2.0 Tahap Pembangunan Industri Pelancongan

Industri pelancongan menjadi semakin penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia dan banyak menyumbang kepada pendapatan serta pertumbuhan negara. Industri pelancongan dikatakan menjadi pemaju utama kepada sosio-ekonomi sesebuah negara. Walaupun secara relatif Malaysia masih baru dalam industri pelancongan di peringkat antarabangsa, namun industri pelancongan ini mempunyai potensi dengan mutu dan daya tarikan setanding dengan destinasi pelancongan yang lain di kawasan Asia Tenggara. Pembangunan industri pelancongan ini boleh disifatkan sebagai sebahagian daripada usaha membina, memperluas dan mempelbagaikan asas ekonomi negara dalam sektor perkhidmatan agar menjadi lebih dinamik, progresif dan berdaya maju. Oleh sebab itu, industri pelancongan Malaysia amat penting kerana ia merupakan penyumbang kedua tertinggi kepada ekonomi negara selepas sektor pembuatan (Chaynee, 2005).


Dari tahun 1974 hingga 2007, jumlah ketibaan pelancong di Malaysia telah meningkat hampir 20 kali ganda dari 1.2 juta kepada 20.9 juta. Selain itu, pendapatan purata untuk tempoh yang sama turut meningkat dari RM 0.35 juta sehingga RM 45.7 juta. Pertumbuhan positif ini terus kekal melainkan pada tahun 2003 dimana tercetusnya wabak Severe Acute Respiratory Syndrome (SARs), dan juga berlaku ketidakstabilan geopolitik di seluruh dunia (Matias, Nijkamp, & Sarmento, 2009). Malaysia berada pada kedudukan antara 10 negara teratas berdasarkan bilangan dan pada kedudukan 15 negara teratas jika dikira dari segi aspek hasil pelancongan.


Pada tahun 2009 sebanyak RM 36.9 bilion telah disumbangkan oleh industri pelancongan kepada Negara Malaysia dan sasaran sebanyak RM 103.6 bilion bagi tahun 2020 (Program Transformasi Ekonomi, Hala Tuju Untuk Malaysia, Bab 10). Kerajaan juga terus memberi sokongan kepada usaha pembangunan pelancongan di Malaysia. Pada tahun 2011 seramai 24.7 juta orang pelancong telah datang ke Malaysia dan jumlah ini telah menyumbang pendapatan sebanyak RM 58.3 bilion. Jumlah tersebut dijangka meningkat menjelang tahun 2020 iaitu seramai 36 juta orang ketibaan pelancong dengan jangkaan kutipan hasil mencecah RM 168 bilion.


Sejak dua dekad yang lalu, Malaysia telah berjaya meningkatkan ketibaan pelancong antarabangsa daripada 7.4 juta pada tahun 1990 kepada 16 juta pada tahun 2004, dan kepada 24 juta pada tahun 2009. Carta 10-1 menggambarkan kedudukan pelancongan global Malaysia dari segi penerimaan dan ketibaan pelancong. Sektor pelancongan telah berkembang daripada RM30 bilion pada tahun 2004 kepada RM53 bilion pada tahun 2009 - iaitu pertumbuhan sebanyak 1.8 kali ganda (atau 12 peratus setahun dari tahun 2004 hingga 2009), dan meletakkan Malaysia di tempat ke-13 dari segi penerimaan pelancongan global. Hanya beberapa buah negara sahaja yang berupaya mengekalkan pertumbuhan pada dua angka dalam tempoh yang sebegitu lama. Ini termasuk Mesir, China dan Afrika Selatan.

Carta 10-1:


Sumber: Pelancongan Malaysia, UMWTO

Meskipun industri pelancongan Malaysia mempunyai sejarah pertumbuhan yang kukuh, iaitu sebanyak 14 peratus bagi dekad yang lalu dan 12 peratus sepanjang lima tahun yang lalu, ia bergantung sebahagian besarnya kepada pertumbuhan jumlah ketibaan pelancong berbanding dengan pendapatan yang diperoleh daripada setiap pelancong. Sekiranya trend ini berterusan, Malaysia perlu bergantung pada ketibaan pelancongan besar-besaran, terutamanya dari negara jirannya (Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia) memandangkan kekerapan kunjungan mereka yang lebih tinggi. Pelancongan besar-besaran membawa bersamanya dua kebimbangan berasingan. Yang pertama ialah kebergantungan yang tinggi terhadap beberapa negara jiran untuk mendapatkan pelancong berbelanja rendah. Yang kedua ialah keupayaan Malaysia untuk menampung jumlah pelancong yang besar sebelum mengkompromikan kualiti tawarannya (Program Transformasi Ekonomi, Hala Tuju Untuk Malaysia, Bab 10).

3.0 Kepentingan dan Sumbangan Industri Pelancongan Terhadap Pembangunan Ekonomi Negara

Sektor perkhidmatan, yang juga meliputi sektor pelancongan, kini memberi sumbangan tertinggi kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan dijangka akan terus meningkat selari dengan arah aliran kebanyakan negara maju. Justeru, keseluruhan rakyat jelata harus menyelaraskan minda sebagai sebuah negara perkhidmatan setimpal dengan status sebagai sebuah negara maju. Segala asas-asas yang bersesuaian dengan keperluan industri perkhidmatan perlu dipupuk. Ketibaan pelancong asing untuk tahun 2015 dianggarkan berjumlah 29.4 juta orang berbanding dengan 27.4 juta orang pada tahun lepas (Dr Zulkiply Omar, Sumbangan Sektor Pelancongan Terhadap Ekonomi, 2015).


Pelancongan dapat menyumbangkan pendapatan negara dan membangunkan ekonomi. Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah menjelaskan bahawa pihak kerajaan telah mensasarkan kehadiran pelancong seramai 29 juta pelancong dengan pendapatan RM89 billion pada tahun 2015 sempena penganjuran Tahun Festival (MyFest 2015). Hal ini disebabkan pelancongan menjadi penggerak utama tukaran wang asing. Melalui kedatangan pelancong asing, dapatlah sesebuah negara memperoleh kadar pulangan tukaran wang asing dengan mudah dan banyak. Setiap pelancong membawa mata wang asing untuk berbelanja serta membayar kos penginapannya selama menetap di sesuatu destinasi. Pelancong juga akan menggunakan kemudahan awam, membeli cenderamata, makanan, minuman dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti sebegini dapat menambahkan pendapatan negara. Seterusnya, wang yang diperolehi oleh kerajaan dapat digunakan untuk pembangunan ekonomi, kemudahan-kemudahan pelancongan dan pembangunan fizikal negara.


Terdapat berbagai motif yang mendorong pelancong asing untuk melancong di Malaysia, termasuk membeli belah atau cuma ingin menikmati kecantikan alam semula jadi. Perlu diingat bahawa Malaysia merupakan salah satu destinasi membeli belah yang utama di dunia. Maka nilai ringgit yang rendah membuatkan barangan Malaysia bertambah kompetitif. Tidak kurang juga pelancongan bermusim terutama dari hemisfera utara yang melarikan diri dari kesejukan sambil menikmati keindahan tropika, terutama bersempena cuti hujung tahun. Ketibaan pelancong asing ke tempat seperti Pulau Perhentian dan Redang adalah secara bermusim kerana lokasi di pantai timur semenanjung Malaysia mengalami musim tengkujuh yang berpanjangan dari bulan Oktober hingga Mac. Namun musim tengkujuh ini tidak menghalang pelancong sebanyak 40 000 orang setahun untuk melawat pulau-pulau ini (Carlsen & Butler, 2011).


Tidak kira apa alasan sekali pun, sudah pasti pelancong-pelancong asing yang berkunjung ke sesuatu negara menginginkan pengalaman yang terbaik. Antara lain, mereka ingin melihat persekitaran yang bersih, masyarakat yang berbudi bahasa dan mereka tidak tertipu. Kita sering mendengar laporan pelancong asing tertipu di sana sini, terutama berkaitan dengan mendiskriminasikan harga. Walaupun, ianya merupakan kes-kes yang terpencil namun memberikan kesan yang amat buruk kepada imej negara. Majoriti pengusaha-pengusaha yang jujur terkesan dengan sikap segelintir pengusaha yang rakus sebegitu. Malaysia mempunyai banyak produk pelancongan berkaitan alam semula jadi yang unik dan bertaraf dunia.


Tidak kurang ramai pelancong yang memfokuskan kepada produk alam semula jadi, seperti pantai, hutan dan sebagainya. Namun tidak kurang juga sebahagian dari produk tersebut telah dicemari oleh manusia, sama ada dirosakkan atau dikotori. Sudah tentu, keadaan sebegini memberi pengalaman yang tidak enak untuk pengunjung di sebalik anugerah semula jadi yang menakjubkan. Setiap ringgit yang dibelanjakan di dalam negara akan memberi kesan pengganda yang maksimum terhadap ekonomi negara melalui rantaian aktiviti-aktiviti ekonomi. Bermakna seringgit yang dibelanjakan menyumbangkan lebih dari seringgit terhadap KDNK. Sebaliknya, perbelanjaan melancong keluar negara merupakan ketirisan terhadap KDNK. Jumlah perbelanjaan melancong keluar negara yang besar akan mengimbangi perbelanjaan pelancong luar yang mengunjungi Malaysia (Dr Zulkiply Omar, 2015).


Menurut Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak melalui akhbar Berita Harian, beliau berkata bahawa sektor pelancongan negara kini penyumbang keenam terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan sejumlah RM161 bilion atau 14.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun 2014. Walaupun suatu tahun penuh duka sengsara yang menyaksikan dunia bersedih dengan Malaysia namun industri pelancongan Malaysia masih mampu menarik 27.44 juta orang pelancong dengan pendapatan berjumlah RM72 bilion. Sektor pelancongan secara langsung memanfaatkan rakyat Malaysia pada tahun 2014 dengan industri itu menarik pelaburan sebanyak RM19.4 bilion serta mewujudkan sejumlah 1.77 juta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.


Malaysia yang telah menganggotai ASEAN telah mendapat pelbagai kepentingan dari segi industri pelancongan. Pendapatan yang dijana oleh pelancongan Malaysia melalui keanggotaan ASEAN telah banyak membantu negara. Kerjasama antara negara-negara anggota telah menjadikan perjalanan intra-ASEAN yang lebih lancar dan perdagangan perkhidmatan pelancongan yang lebih bebas. Usahasama yang dilakukan akan menghasilkan satu penyelarasan dasar seperti dasar pelaburan, perancangan pembangunan pelancongan, sumber manusia, serta pemeliharaan budaya dan alam sekitar (Abdul Razak Chik, Norzilah Hj. Aziz & Azizah Md. Yusof, 2010).

4.0 Halangan/Cabaran Industri Pelancongan

Sektor pelancongan di Malaysia berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan dan ekonomi negara yang penting. Kerajaan telah menggerakkan kesemua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara yang pantas merentasi sempadan. Namun, masih ada ruang dan kesempatanyang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor pelancongan. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh sektor industri pelancongan di Malaysia.

  1. Persaingan dan Perbelanjaan

Antara cabaran yang dihadapi termasuklah persaingan sektor pelancongan dengan negara-negara yang lain. Hal ini demikian,bukan sahaja negara Malaysia tetapi negara-negara yang lain juga mengetahui kebaikan dan kepentingan sektor pelancongan terhadap sesebuah negara. Oleh itu banyak negara mempromosikan pelancongan di negara mereka dan Malaysia hendaklah bersaing dengan negara-negara lain untuk menjadi destinasi utama pelancong. Oleh itu, Malaysia haruslah membuat persediaan yang cukup untuk menarik para pelancong ke negara ini dengan memperhebatkan lagi aktiviti mempromosi dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pelancongan negara kepada para pelancong asing. Kedatangan pelancong ke Malaysia kebanyakannya adalah dari jarak dekat iaitu pelancong dari negara jiran. Menurut Economic Transformation Programme (ETP), Malaysia mempunyai jumlah pelancong yang ramai tetapi hasil yang sedikit iaitu mudah menarik pelancong tetapi sukar untuk membuatkan pelancong berbelanja di negara ini (The Report, 2012).


Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui akhbar MStar, beliau berkata Malaysia boleh mencontohi kemajuan yang dicapai oleh negara-negara lain dalam sektor pelancongan, sebagaimana yang sedang dimajukan oleh Lembaga Pelancongan Bali. Berdasarkan data sehingga Mei lepas, Bali menerima sejumlah 70,000 pelancong dari Malaysia daripada sejumlah 1.3 juta pelancong keseluruhannya dalam tempoh itu. Jumlah kedatangan pelancong ke Bali dijangka dapat ditingkatkan dengan pesat melalui projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, yang akan membolehkannya mengendalikan sejumlah 24 juta penumpang setahun, berbanding kapasita 12 juta penumpang pada masa ini.

  1. Faktor Kebersihan

Di samping itu, pencemaran alam sekitar juga merupakan salah satu cabaran sektor pelancongan di negara Malaysia. Hal ini disebabkan, pencemaran alam sekitar kebelakangan ini menjadi semakin buruk akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir anggota masyarakat dan telah merosakkan kecantikkan dan kebersihan alam sekeliling. Pada masa kini, Malaysia mempunyai alam sekitar yang cantik serta indah dan telah menjadi tulang belakang bagi sektor pelancongan di negara ini. Jika pencemaran alam sekitar menjadi semakin buruk, sektor pelancongan di Malaysia pasti akan terjejas kerana pelancong-pelancong hendak menikmati persekitaran yang cantik dan bersih bukan yang kotor serta busuk.


Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun melalui Borneo Post, beliau berkata terdapat ramai kalangan pelancong yang datang ke negeri ini mengutarakan aduan yang mengatakan bahawa tandas restoran dan awam di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu berada dalam keadaan sangat tidak memuaskan. Katanya, di samping tandas yang kotor, sampah sarap juga dibuang merata-rata oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Keadaan infrastruktur dan alam sekitar yang kotor dan tidak bersih akan memnerikan tanggapan yang negatif kepada para pelancong asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan. Hal ini akan membawa kerugian kepada pendapatan dan ekonomi negara terutamanya.

  1. Ketidaktenteraman Politik

Selain itu, ketidakstabilan politik di negara Malaysia juga merupakan satu cabaran dalam industri pelancongan. Politik yang tidak stabil akan menjejaskan imej negara di mata dunia. Sebagai contoh, pergaduhan yang berlaku kebelakangan ini di negara Thailand. Menurut penganalisis politik Profesor Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff melalui Sinar Harian, pergolakan politik di Thailand telah mengakibatkan beberapa rentetan permasalahan berlanjutan dan akhirnya telah menjerat rakyat serta negara itu sendiri. Krisis ini telah memberi kesan besar kepada Thailand. Pertama, krisis ini telah menyebabkan ekonomi Thailand merosot. Pelabur tidak datang lagi kerana bimbang berlakunya rampasan kuasa tentera.


Akibatnya, pertumbuhan ekonomi Thailand menjunam dari 6.5 peratus pada tahun 2012 menjadi hanya 2.7 peratus pada suku ketiga 2013. Kedua, sektor pelancongan yang menyumbang 7 peratus kepada pendapatan negara telah merosot kerana pelancong asing tidak lagi datang ke Thailand kerana bimbang ancaman terhadap keselamatan mereka, apatah lagi peringatan telah diberikan oleh kedutaan mereka supaya menangguhkan dahulu perjalanan ke Thailand. Ketiga, ketidakstabilan politik ini meredam belanja pengguna domestik serta rancangan pelaburan oleh syarikat-syarikat asing. Jelaslah, politik yang tidak stabil akan membawa banyak kesan buruk pada sektor pelancongan. Keadaan ini memberi iktibar kepada Malaysia untuk cuba menjadikan negara sentiasa dalam keadaan tenteram dan aman.


5.0 Sistem Sokongan Pihak Kerajaan dan Swasta Yang Ditawarkan Untuk Pembangunan Industri Pelancongan


Sejak tahun 1985 sehingga kini, Malaysia telah menjadi buah mulut pelancong asing mahupun tempatan. Saban tahun kehadiran pelancong dari luar negara sentiasa bertambah. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan dan pihak swasta sentiasa giat mempromosikan Malaysia diseluruh dunia termasuk ke negara China, negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah untuk merancakkan lagi perkembangannya. Usaha ini untuk memastikan pelancong mendapat info yang sebenar berkenaan produk dan kemudahan pelancongan yang disediakan secara lebih dekat. Antara produk pelancongan Malaysia termasuklah landskap bentuk muka bumi yang menarik, berbagai persembahan kesenian dan kebudayan yang unik, pelancongan sukan dan bangunan warisan sejarah peninggalan penjajah yang sentiasa terpelihara. Ini menjelaskan bahawa, usaha memperkembangkan industri pelancongan membawa banyak faedah kepada sesebuah negara.

  1. Pihak Kerajaan

a) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia


Jabatan Pelancongan mula ditubuhkan di bawah Kementerian Perdagangan Malaysia pada tahun 1959. Penglibatan sektor pelancongan dalam Rancangan Malaysia Ke-2 1971-1975 telah menekankan peri pentingnya peranan yang dimainkan industri pelancongan dalam ekonomi Negara. Pada tahun 1980-an, kerajaan telah menunjukkan sokongan kepada sektor pelancongan dengan penubuhan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan pada tahun 1987. Pada 20 Mei 1992, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah diberi nama baru iaitu Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan atau lebih dikenali sebagai MoCAT.


Pada bulan April 2004, MoCAT telah dipecahkan untuk menghasilkan Kementerian khas untuk menguruskan semua hal berkaitan pelancongan iaitu Kementerian Pelancongan Malaysia atau MoTour. Perkembangan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mempromosikan sektor pelancongan sebagai salah satu penyumbang utama kepada pendapatan Negara. Pada 15 Mei 2013, MoTour telah dinamakan semula sebagai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) selepas Pilihanraya Umum ke-13. Ini adalah bagi mengiktiraf peranan serta hubungan rapat sektor pelancongan dan sektor kebudayaan dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dunia, yang selari dengan slogan "Malaysia, Truly Asia".

Fungsi Bahagian:

  • Membangunkan dan memperkukuh struktur, fungsi dan peranan organisasi atau institusi yang berkaitan dengan industri perkhidmatan pelancongan bagi memantapkan perancangan dan pelaksanaan pembangunan pelancongan.

  • Mempertingkatkan dan mempelbagaikan produk, aktiviti, kemudahan dan perkhidmatan pelancongan berasaskan kekuatan dan keunikan sumber tempatan.

  • Membangunkan dan menggalakkan pelancongan domestik.

  • Membangunkan dan mempertingkatkan sumber manusia dalam sektor perkhidmatan pelancongan negara dengan meningkatkan kemahiran dan kecekapan sektor perkhidmatan pelancongan melalui kursus dan seminar.

  • Menggalakkan pelaburan pelancongan melalui penyediaan insentif, tabung pelancongan dan khidmat nasihat.

  • Menyediakan peraturan dan garis panduan bagi mempertingkat kualiti kemudahan pelancongan.


b) Galakan Skim Pelancongan


Kerajaan telah menggalakkan lagi aktiviti pelancongan di Malaysia dengan mengadakan promosi industri pelancongan kepada pelancong asing dari luar negara. Kerajaan mengecualikan "Goods and Services Tax" (GST) dengan memberi skim pelancongan kepada pelancong (Kamal Al Rahman, 2015).


1. Skim Pemulangan kepada Pelancong

  • Pelancong-pelancong dibenarkan menuntut semula GST yang dibayar atas barang-barang yang dibeli

2. Kawasan-kawasan khas

  • Tiada GST dikenakan di kawasan-kawasan khas seperti di Pulau Labuan, Langkawi dan Tioman.


c) Memajukan Pelbagai Sektor Pelancongan


Pada masa yang sama juga kerajaan sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan produk pelancongan negara agar tidak terlalu bergantung kepada produk sedia ada. Marcapada, terdapat pelbagai produk pelancongan yang cuba diteroka dan dimajukan untuk memenuhi citarasa pelancong yang pelbagai kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Antara lain, kerajaan mula menonjolkan pelancongan sukan melalui penganjurkan banyak acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Formula One dan Tour De Langkawi. Malahan, kerajaan tidak ketinggalan memajukan sektor ekopelancongan lantaran kekayaan khazanah alam semula jadi di Malaysia seperti Taman Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telah pun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Tidak ketinggalan, kerajaan juga menggalakkan agropelancongan menerusi acara-acara seperti Pesta Buah-buahan Tempatan dan Pesta Flora.


2. Pihak Swasta


Selain kerajaan, para pengusaha pelancongan telah diseru agar meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka. Oleh yang demikian, operator pelancongan perlu bergerak seiring dengan prakarsa kerajaan menarik kemasukan pelancongan dengan memastikan perkhidmatan yang ditawarkan selari dengan harapan pelancong yang datang. Maka, para pengusaha tempat penginapan hendaklah menyediakan kemudahan yang kondusif selari dengan kehendak pelancong sama ada melibatkan hotel bertaraf lima bintang mahu pun penginapan inap desa. Seterusnya, para pengusaha pengangkutan awam seperti pemandu teksi dan bas pelancongan diingatkan agar menyediakan perkhidmatan pada kadar yang berpatutan dan memberikan layanan yang mesra kepada para pelancong.


Sikap buruk sesetengah pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam amat dikesali kerana telah merosakkan imej negara. Kita tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Tidak kurang penting ialah kebersihan tandas-tandas awam perlu dititikberatkan kerana elemen berkenaan akan menggambarkan mentaliti rakyat tempatan. Tegasnya, pengusaha pelancong yang bertindak sebagai barisan hadapan industri pelancongan wajar menyediakan perkhidmatan yang bertaraf dunia sesuai dengan taraf negara sebagai negara membangun yang sedang menuju ke arah sebuah negara maju.


Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat setempat menjadi tulang belakang kepada usaha mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia. Oleh itu, masyarakat hendaklah menyokong aktiviti pelancongan domestik kerana bertepuk sebelah tangan, tak akan berbunyi. Sementalahan pula, sebagai tuan rumah kepada para pelancong, warga tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi bahasa bagi memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka dialu-alukan. Di samping itu, jika merancang untuk bercuti dan melancong, rakyat tempatan hendaklah menjadikan destinasi pelancongan tempatan sebagai pilihan. Mereka janganlah bersikap seperti kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan apabila terlalu taksub untuk melancong ke luar negara. Intihanya, warga tempatan diharapkan agar lebih bersikap patriotik untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.


6.0 Langkah-Langkah Untuk Mendorong dan Membangunkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Pelancongan Luar Bandar


Industri Kecil dan Sederhana (IKS) pelancongan luar Bandar amat membantu negara dalam menjana pendapatan kepada negara seterusnya juga membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Pelancongan desa dapat memberikan pengalaman kepada pelancong supaya menghargai kehidupan di kampung dan merasai budaya dan adat resam tempatan. Pelancongan desa akan bertambah maju sekiranya pelbagai pihak memainkan peranan penting untuk memajukan industri ini. Kerajaan amat memberi penekanan kepada masyarakat setempat di luar bandar untuk melibatkan diri dalam industri pelancongan untuk mendapat pulangan ekonomi lumayan seterusnya meningkatkan ekonomi isi rumah. Keutamaan dalam membangunkan ekonomi pelancongan luar bandar telah diletakkan dalam Rancangan Malaysia ke-9 bagi tahun 2006 hingga 2010, untuk mengurangkan kadar kemiskinan di bandar dan luar bandar (Artinah Zainal, Salleh Mohd Radzi, Rahmat Hashim, Chemah Tamby & Rozita Abu, 2012).


a) Kempen media massa dan elektronik


Langkah pertama yang perlu dilaksanakan untuk memajukan pelancongan desa ialah pihak kerajaan perlu mengadakan kempen melalui media massa dan media elektronik. Melalui kempen yang dilaksanakan, keunikan dan kelebihan sesebuah desa dapat disebarkan kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing dengan cepat. Dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi yang ada pada masa kini, kerajaan boleh membina laman sesawang yang mengandungi pelbagai informasi tentang keistimewaan sesebuah desa di negara kita untuk disebarkan kepada masyarakat luar. Oleh itu, mengadakan kempen merupakan langkah progmatik dalam usaha memajukan pelancongan desa agar industri ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ditelan arus kemodenan.


b) Meningkatkan kecekapan infrastruktur


Seterusnya untuk memajukan Pelancongan Desa agar terus berkembang ialah pihak kerajaan melalui Kementeriaan Pelancongan haruslah menyediakan dan mencekapkan infrastruktur di negara ini. Dengan adanya kelengkapan infrastruktur yang sempurna dan kondusif, sudah pasti negara kita akan menjadi destinasi utama kepada pelancong-pelancong asing. Selain itu, kemasukan pelancong asing akan dapat meningkatkan ekonomi industri desa di negara kita melalui pengaliran mata wang asing. Pihak kerajaan juga seharusnya mengeluarkan dana untuk diagihkan kepada wakil-wakil di setiap negeri bagi menaik taraf infrastuktur seperti rumah penginapan, siber kafe, bekalan air bersih, kafe dan kemudahan asas yang lain.


c) Mempelbagaikan aktiviti rekreasi


Selain itu, pihak pengurusan ‘homestay’ perlu menyediakan pelbagai aktivit rekreasi sebagai satu usaha untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita. Aktiviti-altiviti rekreasi perlu dilaksanakan dengan lebih efektif kerana aktiviti tersebut merupakan daya tarikan utama kepada pelancong asing mahupun pelancong tempatan untuk menyertai aktiviti yang dijalankan sekaligus meningkatkan industri pelancongan desa. Pihak pengurusan ‘homestay’ boleh menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi. Sebagai contoh,mereka boleh memperkenalkan permainan tradisional masyarakat Melayu seperti gasing,congkak,wau,dan sebagainya. Mereka juga boleh mengadakan pertandingan tarian,aktiviti menuai padi,dan pertandingan membuat kraftangan.


Di samping dapat memperkenalkan budaya tempatan kepada pelancing asing, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan mereka. Melalui aktiviti ini, banyak nilai murni dapat diserap dalam jiwa pelancong-pelancong kerana ketika menyertai aktiviti-aktiviti tersebut mereka diasuh untuk saling membantu ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Tegasnya, pihak pengurusan ‘homestay’ perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai faktorpenting untuk memajukan industri pelancongan desa di Malaysia.


d) Mengadakan festival-festival seni


Pihak kerajaan juga haruslah campur tangan dalam hal ini dengan mengadakan festival-festival seni dan kebudayaan di kaswasan-kawasan desa yang terpilih untuk menambah lagi minat pelancong untuk mengenali dengan lebih mendalam lagi tentang kebudayaan dan adat resam sesebuah masyarakat di desa itu. Secara tidak langsung, pelancong akan mengunjungi kawasan itu untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang kebudayaan di situ. Sebagai contoh, untuk menarik minat kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara adalah dengan mengadakan pesta wau, pesta mencanting batik dan pesta kebudayaan masyarakat di kawasan desa itu. Tegasnya, peranan pihak kerajaan mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri dapat menambahkan lagi kehadiran pelancong di negara ini.


e) Menggalakkan pertumbuhan industri berkaitan


Kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan perlu membangunkan kawasan desa sebagai langkah untuk memajukan industri pelancongan desa. Pihak kerajaan bolehlah mendirikan sekurang-kurangnya satu industri dalam sesebuah desa seperti industri pemprosesan makanan, batik dan kraftangan. Andainya kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan mengambil langkah sebegini, maka industri pelancongan desa di negara kita dapat terus berkembang maju. Oleh itu, untuk memajukan industri desa, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan hendaklah membangunkan kawasan desa sebagai salah satu pusat pelancongan desa. Pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini.


7.0 Kesimpulan


Pelancongan menjadi suatu bidang perniagaan dan keusahawanan yang mampu menjana pendapatan yang lumayan. Industri pelancongan berkemampuan dalam memacu pertumbuhan industri berkaitan yang kesemuanya berperanan sebagai pencetus dalam pertumbuhan ekonomi mega di Malaysia menuju kearah negara maju dalam abad kini. Oleh itu, potensi dan kemampuan bersaing industri pelancongan di Malaysia sebagai penjana ekonomi negara hanya dapat dicapai sekiranya terdapat langkah-langkah dan usaha-usaha yang wajar dalam membangunkan dan memajukan industri pelancongan ini. Secara keseluruhannya, kejayaan industri pelancongan di Malaysia hanya mampu dicapai sekiranya terdapat kerjasama antara pihak kerajaan dan sektor swasta untuk memajukan industri pelancongan.


Selain itu, rakyat Malaysia juga terutamanya turut berperanan dalam membantu menjana ekonomi industri pelancongan secara lebih pesat. Henrik Ibsen iaitu penyair pada abad ke-19 berkata ‘masyarakat adalah seperti perahu, semua orang perlu membantu untuk menentukan arah kemudinya’. Tanpa kombinasi usaha yang cukup padu dalam kalangan anggota masyarakat, nescaya tanggungjawab untuk memajukan industri pelancongan akan terabai. Peribahasa Melayu menyebut ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Pelbagai isu berkaitan seperti pelancongan eko, alam sekitar, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong serta pelbagai lagi menyumbang kepada pergerakan masuk jumlah pelancong ke Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan.


Justeru itu, kerjasama pihak-pihak yang berkaitan amatlah penting dalam memajukan dan membangunkan industri pelancongan di Malaysia yang mampu memberi pendapatan yang sangat tinggi kepada negara dan membantu rakyat tempatan untuk menjana ekonomi melalui keusahawanan berdasarkan industri pelancongan. Cabaran-cabaran yang dilalui oleh industri pelancongan Malaysia telah membuka mata semua pihak dan pelbagai inisiatif telah dilaksanakan. Kejayaan Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan pelancongan yang berkualiti tinggi berupaya dalam meningkatkan nama Malaysia ke persada antarabangsa selain menaikkan imej negara ke mata dunia.


8.0 Rujukan


Abdul Razak Chik, Norzilah Hj. Aziz & Azizah Md. Yusof. (2010). Kerjasama Ekonomi ASEAN: Peralihan dan Perubahan. Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad-Universiti Utara Malaysia.


Artinah Zainal, Salleh Mohd Radzi, Rahmat Hashim, Chemah Tamby & Rozita Abu. (2012). Current Issues In Hospitality and Tourism: Research and Innovations. CRC Press.


Berita Harian. (2015). Sektor pelancongan beri sumbangan ketara kepada ekonomi negara–Najib. Dicapai pada 9 Mac 2016, dari http://www.bharian.com.my/node/89720


Borneo Post. (2011). Kebersihan cabaran utama sektor pelancongan. Dicapai pada 9 Mac 2016, dari http://www.theborneopost.com/2011/10/03/kebersihan-cabaran-utama-sektor-pelancongan/


Chaynee, W. (2005). Benefits of Ecotourism for Local Communities, Malaysian Institute for Economic Research. Dicapai dari http://www.mier.org.my


Carlsen, J. & Butler, R. (Eds.). (2011). Island Tourism: Towards a Sustainable Perspective. CAB International.


Dr Zulkiply Omar. (2015). Sumbangan Sektor Pelancongan Terhadap Ekonomi. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER). Dicapai dari https://www.mier.org.my/newsarticles/archives/pdf/DrZul14_12_2015.pdf


Kamal Al Rahman. (2015). GST: Memahami Cukai Barang dan Perkhidmatan di Malaysia. NurPrima Sdn. Bhd.


Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Dicapai pada 9 Mac 2016, dari http://www.motour.gov.my/


Matias, A., Nijkamp, P. & Sarmento, M. (Eds.). (2009). Advances In Tourism Economics: New Developments. Physica-Verlag.


MStar Online. (2012). Sektor Pelancongan Malaysia Perlu Dimajukan Untuk Hadapi Persaingan–Muhyiddin. Dicapai pada 9 Mac 2016, dari http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2012/07/06/sektor-pelancongan-malaysia-perlu-dimajukan-untuk-hadapi-persaingan--muhyiddin/


Program Transormasi Ekonomi: Hala Tuju Untuk Malaysia. Dicapai pada 10 Mac 2016, dari http://www.kkmm.gov.my/pdf/tahukah_anda/ETP_bm/bab10.pdf


The Report: Malaysia. (2012). Oxford Business Group.


FlashlightJessie J
00:00
bottom of page